GRS berpaksikan Hala Tuju SMJ, terus perkukuh pembangunan – Dr. Joachim

GRS berpaksikan Hala Tuju SMJ, terus perkukuh pembangunan – Dr. Joachim

0
SHARE

RANAU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menegaskan bahawa pembangunan di Sabah, termasuk di Kundasang, dilaksanakan berasaskan Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi panduan utama Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata, Hala Tuju SMJ bukan sahaja memastikan pembangunan infrastruktur dan ekonomi berjalan lancar, malah turut menitikberatkan pembangunan modal insan, termasuk pendidikan anak-anak sebagai pelaburan masa depan negeri.

“Kerajaan GRS berpaksikan kepada Hala Tuju SMJ yang memastikan semua aspek pembangunan terus ke hadapan, sama ada dari segi kemudahan asas, kesejahteraan rakyat mahupun peningkatan kualiti pendidikan generasi muda,” katanya ketika berucap pada program bersama penduduk PDM Nawanon di Dewan Mini Kampung Nawanon, di sini, kelmarin.

Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, menekankan bahawa kejayaan pembangunan tidak berlaku sekelip mata.

“Sebagai contoh, setelah sekian lamanya, barulah ada pembinaan jalan dari Simpang Tarawas ke SK Kaingaran serta Singgaron-Mansalu (SK Kawiyan). Ini bukti kesinambungan usaha pemimpin terdahulu yang diteruskan kerajaan hari ini,” jelasnya.

Beliau yang Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, GRS telah bekerja keras dalam tempoh lima tahun lalu dengan pelbagai pencapaian dan akan terus berusaha untuk memperkukuh pembangunan pada penggal pemerintahan seterusnya.

“Pemilihan kerajaan dan wakil rakyat adalah hak kamu. Kamu bebas memilih siapa wakil rakyat. Namun saya yakin GRS tetap akan menjadi kerajaan kembali kerana kita membuktikan kerja nyata, bukan retorik,” ujarnya.

Dalam majlis sama, Ketua Kampung Nawanon, Daini Ambag menzahirkan penghargaan kepada Dr. Joachim kerana menyalurkan pelbagai kemudahan infrastruktur untuk kesejahteraan penduduk. Beliau turut mengajak penduduk agar terus menyokong kerajaan sedia ada secara padu.

Sementara itu, dalam program berasingan, Dr. Joachim turut merasmikan Dewan Mini Kampung Kantas dan menyantuni penduduk di situ.

Beliau berkata, kemudahan baharu itu memberi ruang selesa kepada masyarakat menjalankan aktiviti sosial dan rekreasi tanpa terdedah kepada cuaca panas atau hujan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kantas, Hernita Tanggangon, pula menzahirkan penghargaan kepada Dr. Joachim dan berharap agar Kerajaan dapat membuka lebih banyak jalan kebun bagi memudahkan pemasaran hasil tani penduduk.

Mengulas permintaan itu, Dr. Joachim mengarahkan JKKK menyenaraikan jalan-jalan kebun untuk diserahkan kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kundasang, agar tindakan susulan dapat dibuat.