SAS Salur Bantuan, Tanda Solidariti Mangsa Banjir

SAS Salur Bantuan, Tanda Solidariti Mangsa Banjir

0
SHARE

PUTATAN: Sebagai tanda solidariti terhadap mangsa banjir, Skuad Anak Sabah (SAS) tampil menggerakkan Jelajah SAS Prihatin dengan menyalurkan bantuan makanan dan minuman di beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) sekitar Putatan, Penampang dan Papar.

Antara lokasi yang dikunjungi termasuk PPS Inobong di Penampang, PPS Dewan Keramat di Putatan serta PPS Dewan Masyarakat Daerah Papar.

Ketua Penerangan SAS merangkap penyelaras program, Iskandar Zulkarnain Ramli, berkata lebih 100 ahli daripada 10 bahagian SAS terlibat dalam program itu, sekali gus memberikan sokongan moral kepada mangsa.

Selain bantuan makanan dan minuman, sukarelawan SAS juga bergotong-royong membersihkan kawasan dalam dan luar PPS bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa terjaga.

“Pelaksanaan program ini bertepatan dengan semangat Hari Malaysia. Walaupun SAS masih baharu, kami bertekad untuk menjadikan kebajikan rakyat sebagai agenda utama,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Keramat, Putatan pada Selasa.

Turut hadir, Timbalan Presiden I SAS, Dato’ Sri Norazah Abu Bakar; Naib Presiden II SAS, Marlinah Madjid; dan barisan kepimpinan tertinggi SAS.

Iskandar menegaskan, usaha seumpama itu tidak akan terhenti di sini sahaja. Ia akan diperluaskan ke Zon Pantai Timur, Utara dan Pedalaman Sabah bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat.

Dalam masa sama, beliau turut mendedahkan SAS merancang mewujudkan koperasi SAS sebagai inisiatif memperkasa ekonomi rakyat Sabah.

“Kami mengalu-alukan penyertaan lebih ramai anak-anak Sabah untuk bersama SAS membawa suara rakyat, tanpa mengira kaum, agama atau ideologi politik,” jelasnya.