Denmark Negara Pertama Di Eropah Menarik Balik Semua Sekatan COVID-19

Denmark Negara Pertama Di Eropah Menarik Balik Semua Sekatan COVID-19

0
SHARE
Rakyat Denmark tidak lagi memakai pelitup muka selepas negara itu menarik balik semua sekatan berkaitan Covid-19. - Foto AFP

COPENHAGEN, DENMARK – Denmark kini melonggarkan semua sekatan berkaitan Covid-19 termasuklah menarik balik pemakaian pelitup muka bagi individu yang lengkap divaksin bermula kelmarin.

Ini menjadikan Denmark sebagai satu-satunya negara di Eropah yang melakukan perkara sedemikian…

Menurut laporan AFP, keputusan itu dibuat ketika negara tersebut masih mencatatkan 40,000 hingga 50,000 kes baharu Covid sehari atau hampir satu peratus daripada 5.8 juta penduduk negara itu.

Menurut pegawai kesihatan Denmark, angka tersebut itu bakal menunjukkan penurunan tidak lama lagi.

“Kemuncak jangkitan di lokasi-lokasi ‘panas’ sudah berlalu, maka sekarang adalah masa sesuai untuk menghentikan semua sekatan dan kembali hidup normal,” kata wakil Institusi Penyelidikan dan Kesihatan Awam Denmark SSI, Tyra Krause.

Sementara itu, Denmark juga mencatatkan lebih 60 peratus rakyatnya telahpun menerima dos penggalak sebulan lebih awal berbanding purata anggota Kesatuan Eropah (EU) yang hanya mencatat bawah 45 peratus.

Lebih kurang 80 peratus daripada penduduk Denmark dianggarkan akan dilindungi daripada daripada kesan serius COVID-19 termasuk mereka yang pernah dijangkiti virus tersebut, lapor pihak berkuasa kesihatan negara itu.

“Varian Omicron tidak memberikan gejala serius bagi mereka yang telah divaksinasi penuh, dan mereka hanya akan mengalami simptom ringan,” kata Pakar Epidemiologi Universiti Roskilde, Lone Simonsen.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran bahawa keputusan Denmark adalah terburu-buru dan bakal memberikan impak buruk di masa hadapan.

Ketua pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata anggapan bahawa varian Omicron tidak berbahaya adalah sangat berbahaya.

“Terlalu awal untuk mengisytiharkan kemenangan atau menyerah diri untuk hidup bersama virus ini.

“Lebih banyak penularan bermakna lebih banyak kematian. Itulah kebenarannya walaupun ramai yang menganggap gejala ringan adalah situasi yang boleh diterima,” tegas Tedros.

Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap keterujaan negara-negara kaya dengan kadar vaksinasi tinggi membuka pintu sempadan bakal mempengaruhi jiran-jiran mereka yang masih bergelut dengan pandemik untuk melakukan perkara sama.