Kerajaan UK Mansuhkan Rancangan Pasport Vaksin

Kerajaan UK Mansuhkan Rancangan Pasport Vaksin

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

LONDON – Menteri Kesihatan, Sajid Javid memaklumkan Kerajaan United Kingdom (UK) akan memansuhkan rancangan yang mengkehendaki rakyat England menunjukkan pasport vaksin sebagai syarat memasuki acara membabitkan ramai orang seperti dalam kelab malam.

Terdahulu, Kerajaan UK pernah mengumumkan akan memperkenalkan langkah itu pada hujung bulan ini, meskipun mendapat tentangan dari peniaga dan beberapa Ahli Parlimen dari parti Konservatif.

Keputusan pusingan ‘U’ (U-Turn) itu dibuat dengan alasan Kerajaan melihat langkah itu tidak perlu dalam situasi wabak sekarang ini, berikutan kadar vaksinasi tinggi di negara itu.

“Kami menelitinya dengan teliti dan sementara kami perlu menyimpannya sebagai potensi pilihan, saya gembira tegaskan di sini kami tidak akan meneruskan rancangan untuk pasport vaksin,” katanya kepada stesen penyiaran BBC.

UK merekodkan lebih 80 peratus populasi berumur 16 tahun ke atas menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 dan dijangka juga akan mengumumkan dalam masa terdekat sama ada pihaknya akan memberi suntikan vaksinasi kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun.

Javid yang dipetik AFP turut menjelaskan bahawa idea yang mewajibkan untuk menunjukkan dokumentasi di tempat riadah membuatkan beliau tidak selesa, kerana beberapa pemimpin pembangkang menggelar langkah ini sebagai potensi melanggar kebebasan awam.

“Tidak langsung tidak menyukai idea yang mengkehendaki orang menunjukkan kertas kepada anda atau sesuatu untuk melakukan aktiviti harian,” ujar beliau.

Perubahan tiba-tiba itu berlaku selepas Menteri Vaksin, Nadhim Zahawi, ketika dalam Parlimen pada minggu lalu berkata, rancangan itu akan dilaksanakan akhir bulan ini, ketika semua individu berumur 18 tahun ke atas mempunyai masa untuk menerima kedua-dua dos suntikan vaksin.

Javid memberitahu Times Radio bahawa faktor penentu utama adalah tidak seperti di beberapa negara lain yang sudahpun memperkenalkan pasport vaksin, namun England sebaliknya mengambil kira peningkatan kadar pengambilan vaksin secara berterusan.

Menteri Kesihatan United Kingdom, Sajid Javid…

“Orang bercakap mengenai sijil sebagai alat untuk meningkatkan kadar vaksinasi. Saya tidak pasti sama ada kita perlu lakukan itu,” tambahnya.

Pengumuman itu menyusul selepas kerajaan Scotland Khamis lalu meluluskan pengenalan pasport vaksin pada bulan depan, sebagai syarat kepada mereka yang ingin memasuki kelab malam dan festival muzik.

Mengulas laporan media mengenai kerajaan akan membatalkan sekatan perjalanan termasuk ujian saringan RT-PCR yang mahal sebelum berlepas dan ketibaan dari perjalanan luar negara, menurut Javid kepada Sky News, beliau mahu melakukan itu secepat yang mungkin.

Javid turut mengesahkan kerajaan akan mengumumkan cadangan untuk menarik kuasa darurat tertentu sepanjang pandemik COVID-19, termasuk kuasa untuk menutup perniagaan dan sekolah.