60 Daripada 67 Projek PoP Fasa 1 Siap

60 Daripada 67 Projek PoP Fasa 1 Siap

0
SHARE
Fahmi
Fahmi (tengah) meletakkan tapak tangan pada peranti elektronik sebagai gimik perasmian ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TUARAN, SABAH – Sebanyak 60 daripada 67 Projek Point Of Presence (PoP) Fasa 1 di Sabah berjaya disiapkan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, jumlah tersebut melibatkan sekurang-kurangnya 6,000 premis yang akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak satu PoP di kawasan perindustrian telah disiapkan iaitu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Zon Industri 7.

“Secara keseluruhannya, kawasan KKIP ini akan melibatkan penyediaan PoP di empat lokasi dengan sekurang-kurangnya 400 premis, iaitu 220 bagi industri atau komersil dan 180 bagi premis kediaman.

“Manakala bagi kawasan Parlimen Sepanggar ini khususnya, sebanyak tiga PoP telah disiapkan dengan sekurang-kurangnya 300 premis sedia untuk dilanggan.

“Pelaksanaan Projek PoP Fasa 2 di Sabah selanjutnya akan melibatkan 636 kawasan lagi,” katanya ketika merasmikan Projek PoP Zon Industri di Kampung Lapasan, pada Ahad.

Fahmi memaklumkan sokongan infrastruktur jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi berupaya menggalakkan pengembangan aktiviti industri, meningkatkan pelaburan khususnya di kawasan-kawasan industri baharu, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Selain itu, inisiatif ini juga akan memberi peluang kepada peningkatan ekonomi berasaskan ekonomi digital di luar bandar.

“Masyarakat luar bandar boleh menjalankan pelbagai urusan termasuk perniagaan di rumah secara dalam talian dengan adanya capaian rangkaian internet yang lebih berkualiti dan menyeluruh,” tambah beliau.

Beliau berharap agar infrastruktur telekomunikasi yang disediakan akan dimanfaatkan sebaiknya untuk meningkatkan taraf hidup dan menerokai gaya hidup baharu yang lebih berkualiti.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa. — JABATAN PENERANGAN SABAH