TUARAN: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata infrastruktur sistem pengairan lama di beberapa kawasan perlu ditambah baik bagi menjamin keselamatan dan kelangsungan sektor pertanian.
“Saya telah berbincang dengan Pengarah JPS bahawa tahun ini atau tahun hadapan kita perlu mencari bajet untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.
Beliau menegaskan usaha itu akan dibawa ke peringkat lebih tinggi termasuk Kerajaan Persekutuan jika perlu.
Menurut Jamawi, petani sering terjejas setiap kali berlaku banjir, khususnya di kampung yang tidak mempunyai sistem pengairan dan tebatan banjir mencukupi.
“Penduduk hanya mahu jaminan sumber makanan mereka tidak terjejas sepanjang tahun kerana pertanian adalah kehidupan para petani,” katanya.
Beliau berkata kementerian komited memastikan setiap projek memberi manfaat nyata kepada rakyat, dengan penekanan kepada perancangan rapi dan penggunaan sumber secara berkesan.
Jamawi berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai Kanan JPS Sabah 2026 di Tuaran, yang menghimpunkan lebih 120 pegawai kanan bagi menilai prestasi dan merancang pembangunan jabatan.






