KOTA KINABALU: Kemasukan pelabur ke Sabah terus merangsang pertumbuhan sektor perindustrian negeri, sekali gus menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengukuhkan rantaian bekalan industri tempatan.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr Kasim Hj Mansor berkata, sehingga suku kedua 2025, Sabah merekodkan pelaburan berjumlah RM11.368 bilion melibatkan sektor Pembuatan, Perkhidmatan dan Sektor Utama.
Katanya, ianya meletakkan negeri ini sebagai penerima pelaburan kelima tertinggi di Malaysia, mengatasi pencapaian 2024.
Menurutnya, sektor Pembuatan mencatat pelaburan tertinggi sebanyak RM7.472 bilion, diikuti Perkhidmatan RM3.139 bilion dan Sektor Utama RM757 juta.
Antara pemangkin utama ialah pelaburan fasa pertama Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. bernilai RM6.592 bilion bagi pembinaan kilang keluli hijau di Sipitang.
Dr Kasim berkata, pelaburan berskala besar itu memberi kesan langsung kepada pembangunan industri sokongan seperti logistik dan pembekalan bahan mentah, selain meningkatkan daya saing serta kemampanan ekonomi negeri.
Beliau turut menyifatkan Belanjawan Sabah 2026 mampu mempercepatkan pembangunan ekonomi dengan peruntukan Perbelanjaan RM6.402 bilion dan Hasil RM6.430 bilion, mencatat lebihan RM28 juta, berfokus kepada pembangunan jangka panjang, peluang pekerjaan dan penambahbaikan kemudahan awam.






