Azam Tahun Lama Turunkan Berat Badan? Faktor Genetik Punca Sukar Berjaya

Azam Tahun Lama Turunkan Berat Badan? Faktor Genetik Punca Sukar Berjaya

0
SHARE

Permulaan tahun baharu sering mendorong ramai orang menetapkan azam untuk menurunkan berat badan, terutama selepas musim perayaan.

Namun, menurut pakar, penurunan berat badan bukan semata-mata soal disiplin diri atau kemahuan.

Profesor neuroendokrinologi molekul Universiti Cambridge, Dr Giles Yeo, menjelaskan bahawa faktor genetik memainkan peranan besar dalam tabiat pemakanan dan berat badan seseorang.

Katanya, terdapat lebih 1,000 gen yang mempengaruhi tingkah laku makan, termasuk gen melanocortin 4 receptor (MC4R) yang mengawal selera makan dan keseimbangan tenaga.

“Mutasi pada gen MC4R dikaitkan dengan obesiti sejak usia kanak-kanak. Kira-kira 0.3 peratus populasi umum memiliki mutasi ini dan individu terlibat didapati secara purata hampir 18 kilogram lebih berat menjelang usia 18 tahun.

“Dalam kalangan pesakit obesiti teruk yang dirawat di klinik, peratusan mutasi ini meningkat kepada antara 2 hingga 10 peratus,” katanya kepada The Independent.

Dr Yeo turut menjelaskan bahawa isyarat lapar berbeza antara individu kerana otak mentafsir hormon daripada usus dan tahap lemak badan dengan cara yang berbeza.

Namun, beliau menegaskan genetik bukan satu-satunya faktor.

“Persekitaran makanan, akses mudah kepada makanan diproses dan gaya hidup kurang aktif juga menyumbang kepada peningkatan obesiti,” tegasnya.

Menurutnya, naratif yang hanya menekankan kawalan diri adalah tidak membantu.

Sebaliknya, usaha perlu difokuskan kepada pembaikan persekitaran makanan, termasuk kawalan pengiklanan makanan tidak sihat.

Di peringkat individu, beliau menyarankan orang ramai memahami punca mereka makan dan mengurangkan makanan yang menjadi kelemahan di rumah sendiri.