TAWAU: Seorang penunggang motosikal lelaki berusia 19 tahun maut, manakala dua wanita cedera ringan dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di hadapan Rastamas, di sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.33 tengah hari itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS dilaporkan terlanggar sebuah Perodua Axia yang sedang membuat pusingan U.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB II Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.33 tengah hari sebelum lima anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba pada jam 12.40 tengah hari, didapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia dan motosikal Honda RS dengan tiga mangsa terlibat.
“Seorang wanita berusia 40 tahun yang merupakan penumpang kereta didapati tersepit di tempat duduk hadapan, manakala pemandu wanita berusia 31 tahun berjaya keluar sebelum ketibaan bomba.
“Penunggang motosikal lelaki berusia 19 tahun pula disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba menggunakan peralatan khas hidraulik jenis spreader bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 1.01 petang sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
“Mayat penunggang motosikal pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi yang turut dibantu KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.14 petang selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan.






