JOHAN GHANI KELUAR PKR, KATA ANWAR PUNCA PEMBANGKANG JATUH

JOHAN GHANI KELUAR PKR, KATA ANWAR PUNCA PEMBANGKANG JATUH

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Bekas ADUN Kuala Penyu, Datuk Johan O.T Ghani mengambil langkah keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas mendakwa Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memecahkan belahkan parti itu khususnya di Sabah.

Katanya ianya bukannya perkara baharu untuk diketahui bahawa PKR Sabah telah retak kepada dua kem diketuai bekas ketua Majlis Pengerusi Negeri (MPN), Datuk Christina Liew, dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Raymond Ahuar.

“Kedatangan Anwar ke Sabah pada minggu lalu diharapkan dapat menyatupadukan semula parti namun beliau terus memecahbelahkannya lagi dengan mengumumkan Datuk Sangkar Rasam sebagai MPN baharu…

“Sangkar kawan baik saya. Tetapi Christina sudah 20 tahun dalam parti dan juga merupakan Ahli Parlimen Tawau dan ADUN Api-Api. Saya melihat perkara ini akan menjejaskan pengundi Cina. Saya yakin tindakan itu akan turut menjejaskan kepercayaan ahli yang lain terhadap kepimpinan,” katanya.

Johan turut berpendapat bahawa tindakan Anwar itu adalah bagi memancing undi Kadazan Dusun Murut (KDM) tetapi berkata perkara itu bukanlah sesuatu yang mudah ataupun bijak kerana hari membuang undi semakin hampir.

Selain itu, Johan berkata perjanjian MoU yang ditandatangani antara pihak pembangkang dan kerajaan pada tahun lalu turut memberi persepsi seolah pembangkang “tunduk” kepada kerajaan sekaligus menjatuhkan kredibiliti di mata rakyat.

Johan menjadi ADUN Kuala Penyu di atas tiket USNO pada 1985, dan UMNO pada 2004, namun dipecat seumur hidup kerana memilih keluar parti untuk menjadi ADUN bebas.

Beliau yang berumur 72 tahun itu kemudian menyertai PKR selama 14 tahun dan menjadi sahabat erat mendiang Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin.

Johan juga mendakwa mempunyai hubungan baik dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor selain Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Saya rasa saya akan berehat dahulu (dari politik). Saya berharap agar rakan-rakan terus berjuang bersama PKR dan mendoakan kejayaan mereka semua,” katanya sambil menambah akan terus memberi sokongan kepada Datuk Christina Liew.