LIPIS, PAHANG – Polis menahan dua daripada lima orang lelaki yang disyaki telah menyerang sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras serta memukul seorang pelajar dan seorang ustaz pusat tahfiz berkenaan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kedua-dua suspek berusia 30-an berkenaan ditahan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis.
“Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan kawasan…
“Tiga lagi suspek masih dikesan termasuk seorang suspek utama yang telah dikenal pasti butiran peribadi dan usaha menangkap suspek sedang dipergiatkan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine dan turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Azli berkata bahawa berdasarkan laporan kejadian dipercayai berpunca akibat suspek tidak berpuas hati terhadap penjaga pusat tahfiz berkenaan berkaitan pembayaran makanan di pusat tahfiz itu.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal pada jam 5.10 petang semalam lima lelaki bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat tahfiz berkenaan menaiki sebuah pacuan empat roda sebelum tiga suspek bertindak menyerang mangsa.
“Dalam kejadian itu penjaga tahfiz (ustaz) mengalami kecederaan di bahagian mata sebelah kanan dan menerima empat jahitan, cedera di tangan dan lebam di badan, manakala pelajar tersebut sakit di bahagian badan,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial sejak semalam beberapa rakaman video yang menunjukkan beberapa orang lelaki bertindak menyerang sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras, di sini semalam.
Dalam video berdurasi 1.53 minit berkenaan jelas menunjukkan seorang lelaki yang memakai seluar pendek memarahi seorang mangsa sebelum bertindak memukulnya.
Berdasarkan rakaman lelaki yang memakai kasut berkenaan menyatakan tidak berpuas hati apabila anak saudaranya dan pelajar lain dipukul.
Lelaki tersebut berkenaan kemudiannya memukul mangsa sebelum mengajaknya bergaduh.
VIDEO tular dalam media sosial sejak semalam yang menunjukkan beberapa orang lelaki bertindak menyerang sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras…





