PUTATAN: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya menegaskan kerjasama antara kerajaan, agensi dan masyarakat awam penting bagi memastikan kawasan perumahan di daerah itu kekal selesa dan selamat.
“Hubungan holistik antara orang ramai dan pihak pelaksana tanggungjawab amat penting bagi memastikan keterjaminan penduduk di Putatan.
“Semua pihak perlu berganding bahu memberi perkhidmatan yang baik dan tidak hanya bertindak selepas ada aduan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program walkabout di Taman Jumbo dan Taman Friendship, yang turut disertai wakil pejabat daerah, ADUN Tanjung Keramat serta Majlis Daerah Putatan.
Mengulas isu di kawasan berkenaan, Shahelmey berkata antara masalah dikenal pasti ialah perparitan, jalan raya, pembuangan sampah dan penyelenggaraan pokok.
“Saya dimaklumkan ada pemilik rumah tidak membenarkan pembersihan longkang, menyebabkan kawasan kotor dan pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.
Beliau meminta pihak konsesi dan Pihak Berkuasa Tempatan melakukan penyelenggaraan serta pemantauan berkala, selain menggesa penduduk menjadi mata dan telinga bagi membantu menyelesaikan masalah perumahan.






