RANAU: Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum dalam satu operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau di sebuah perkampungan di daerah ini, petang Rabu.
Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 petang itu, polis menahan suspek serta merampas 17 botol mineral berkapasiti 1.5 liter yang mengandungi air ketum, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 25.5 liter.
Turut dirampas ialah sebuah tong gas berwarna kuning, sebuah dapur memasak dan sebuah periuk yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.
Menurut polis, tangkapan dan rampasan tersebut dilakukan hasil operasi berterusan bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan serta penjualan air ketum di daerah Ranau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memiliki dan memproses cecair ketum.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud menegaskan pihaknya akan terus memperhebat operasi dan pemantauan bagi membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang itu demi memastikan kesejahteraan serta keselamatan masyarakat setempat.
Beliau turut mengingatkan bahawa usaha menjaga keselamatan dan ketenteraman awam bukan hanya tanggungjawab polis semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat setempat dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah.
Katanya, lawatan dan kehadiran polis di kampung-kampung bukan sekadar pertemuan bersama penduduk, tetapi merupakan simbol komitmen berterusan pasukan keselamatan dalam membina hubungan erat dengan masyarakat serta mewujudkan persekitaran yang aman, selamat dan kondusif.






