KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) secara rasmi diterima sebagai ahli baharu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), manakala enam zon khas diwujudkan bagi memperkemaskan persiapan jentera gabungan itu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan menerima UPKO sebagai ahli gabungan baharu GRS dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang dipengerusikannya hari ini.
Jelas Ketua Menteri itu, kemasukan UPKO selaras dengan perjuangan GRS yang berteraskan prinsip Sabah First, Sabah Forward dan Sabah United, selain memperkukuhkan parti-parti tempatan dalam menerajui pembangunan dan kestabilan politik negeri.
“Kita telah bersetuju sebulat suara untuk menerima UPKO sebagai ahli gabungan baharu GRS. Dengan penerimaan ini, ia sejajar dengan perjuangan GRS sendiri iaitu Sabah United, Sabah First dan untuk memberi kekuatan kepada parti-parti gabungan tempatan ini.
“Kita mahu mewujudkan kestabilan kerajaan di peringkat negeri yang sedia ada,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS di sini, hari ini.
Menurutnya, UPKO secara rasmi menjadi ahli GRS bermula hari ini dan perkara itu akan dimaklumkan kepada kepimpinan parti berkenaan.
“Mulai hari ini UPKO menjadi ahli GRS secara rasmi. Saya rasa semua setuju kerana kita mahu terus menguatkan GRS,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) berkata, mesyuarat turut memberi tumpuan kepada persiapan awal menghadapi PRU akan datang dengan memperkemaskan jentera parti di semua kawasan Parlimen di Sabah.
Bagi tujuan tersebut, GRS melantik enam pengerusi zon yang akan menjalankan naziran serta memantau laporan dan tahap kesiapsiagaan bahagian-bahagian parti mengikut kawasan masing-masing.
Zon 1 yang meliputi Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran dipengerusikan sendiri oleh Hajiji, manakala Zon 2 melibatkan Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan diketuai Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Masidi Manjun.
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman mengetuai Zon 3 yang merangkumi Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang, sementara Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam mempengerusikan Zon 4 melibatkan Ranau, Keningau, Pensiangan dan Tenom.
Bagi Zon 5 yang meliputi Sandakan, Batu Sapi, Libaran, Beluran dan Kinabatangan, ia diketuai Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin, manakala Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah mengetuai Zon 6 yang merangkumi Tawau, Kalabakan, Lahad Datu dan Semporna.
Hajiji berkata pelantikan enam pengerusi zon itu bertujuan memastikan setiap bahagian GRS berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik walaupun tempoh Parlimen semasa hanya akan berakhir pada penghujung tahun hadapan.
“Kita di Sabah mesti bersedia. Apa yang dititikberatkan ialah kerjasama dan perpaduan dalam kalangan parti-parti komponen GRS serta rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan di Sabah.
“Ini amat penting kerana kita mahu menang besar dalam pilihan raya Parlimen akan datang,” katanya.
Ketika ditanya mengenai pengagihan kerusi Parlimen, Hajiji berkata GRS akan mempertimbangkan calon yang mempunyai peluang terbaik untuk memenangi kerusi masing-masing.






