STPM: Sabah Catat Peningkatan CGPA, 158 Pelajar Capai 4.00

STPM: Sabah Catat Peningkatan CGPA, 158 Pelajar Capai 4.00

0
SHARE

KOTA KINABALU: Prestasi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 di Sabah terus menunjukkan peningkatan dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) meningkat kepada 2.78 berbanding 2.77 pada 2024, hampir menyamai purata nasional 2.88.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata peningkatan itu mencerminkan komitmen keseluruhan ekosistem pendidikan negeri, khususnya dalam kalangan pelajar B40.

Seramai 8,296 calon berdaftar, dengan 7,632 atau 91.99 peratus menduduki peperiksaan, manakala 158 calon memperoleh CGPA 4.00, meningkat 12 orang berbanding tahun sebelumnya. Secara keseluruhan, 99.96 peratus calon layak menerima sijil STPM.

Beliau menyifatkan STPM sebagai laluan mencabar namun berbaloi dengan peluang melanjutkan pengajian ke universiti dan mendapatkan biasiswa.

Sabah turut menerima pengiktirafan apabila SMK Kinabutan, Tawau dinobatkan sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik (Mod 2 dan 3) serta anugerah lonjakan prestasi terbaik, manakala beberapa kolej Tingkatan Enam turut tersenarai dalam kategori kecemerlangan.

Seorang pelajar dari Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu turut dinobatkan sebagai pelajar terbaik nasional aliran Sains Sosial.

Raisin berkata sebahagian pelajar tidak menamatkan STPM kerana faktor pekerjaan dan tekanan kewangan, namun kelayakan mereka kekal dipelihara.

Beliau turut menegaskan pelaksanaan intervensi awal psikometrik serta langkah kebajikan pelajar, termasuk usaha menangani isu buli.

Keputusan STPM 2025 boleh disemak melalui portal Majlis Peperiksaan Malaysia atau SMS.