SEPANG: AirAsia menasihatkan orang ramai, khususnya pencari kerja, supaya berwaspada terhadap laman web palsu yang menyamar sebagai portal kerjaya syarikat tersebut.
Syarikat penerbangan itu berkata satu laman penipuan (airasiaexpress.com) sedang dikesan beroperasi dengan meniru laman rasmi kerjaya AirAsia bagi memperdaya pemohon pekerjaan.
Menurut AirAsia, modus operandi penipuan berkenaan adalah dengan mengumpul maklumat peribadi serta meminta bayaran “yuran pemprosesan” bagi meneruskan proses pengambilan pekerja palsu.
“Portal kerjaya rasmi AirAsia hanya di careers.airasia.com dan kami tidak pernah mengenakan sebarang bayaran untuk permohonan kerja,” menurut kenyataan syarikat itu.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berkongsi maklumat peribadi atau membuat sebarang pembayaran kepada laman tidak sah.
AirAsia berkata pihaknya terus memantau aktiviti penipuan tersebut dan menggesa orang ramai mengesahkan semua maklumat pengambilan pekerja melalui saluran rasmi.






