244 Penduduk Sipitang Terima Geran PANTAS

244 Penduduk Sipitang Terima Geran PANTAS

0
SHARE

SIPITANG: Seramai 244 penduduk Kampung Long Pasia, Long Mio dan Ulu Bole menerima geran tanah masing-masing menerusi Program Penyukatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS).

Penyerahan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin merangkap Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, Datuk Dr Yusof Yacob, kepada ketua kampung masing-masing termasuk Yakub Sim (Long Pasia), Murang@Murong Padang (Long Mio) dan Ampayas Antakah (Ulu Bole).

Sebanyak 138 geran diserahkan kepada penduduk Long Pasia, 56 di Long Mio dan 50 di Ulu Bole.

Dr Yusof berkata, pemilikan geran tanah penting bagi mengelak keraguan status tanah serta memberi peluang kepada penduduk untuk mengusahakan pertanian seperti kopi, sayuran dan buah-buahan.

Ini sekali gus dapat memenuhi permintaan makanan di daerah Sipitang khususnya dengan kewujudan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Beliau menegaskan agar penerima tidak menjual tanah tersebut, sebaliknya memajukannya sendiri atau secara berkelompok dengan sokongan agensi kerajaan atau koperasi.

Katanya, PANTAS adalah inisiatif kerajaan negeri untuk mengiktiraf pemilikan tanah adat turun-temurun serta meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar.

Pada majlis sama, Dr Yusof turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan kepada 120 Ketua Isi Rumah mangsa banjir baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Sipitang Abd Karim A.M Zahari dan Ketua Pengarah Kanan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Nurul Ikhsan Ibrahim.