Orang Awam Diminta Bantu Kesan Waris Warga Emas Meninggal Dunia Dalam Bilik...

Orang Awam Diminta Bantu Kesan Waris Warga Emas Meninggal Dunia Dalam Bilik Sewa di Bandaran

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dengan kerjasama pihak hospital memohon bantuan orang awam bagi mengesan waris kepada seorang lelaki warga emas yang meninggal dunia pada Ahad lalu.

Polis Daerah Kota Kinabalu dalam satu hebahan memaklumkan, si mati dikenali sebagai Low Yook Nam, 75, berbangsa Cina, yang disahkan meninggal dunia pada 19 April 2026 kira-kira jam 9.38 pagi di sebuah bilik sewa di Bandaran Berjaya, di sini.

Menurut hebahan itu, mayat si mati kini ditempatkan di Unit Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu bagi tujuan pengecaman dan tuntutan oleh waris terdekat.

“Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau mengenali si mati diminta tampil atau menghubungi pihak polis dengan segera bagi membantu urusan pengecaman dan pengurusan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah kenyataan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau Pegawai Penyiasat, ASP Muhammad Abu Zar Jali @ Ramli di talian 019-3546375, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Kerjasama orang awam amat dihargai dalam membantu pihak polis mengesan waris si mati,” katanya.