LABUAN: Kutipan hasil melebihi RM40 juta yang direkodkan oleh Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) pada tahun lalu membuktikan komitmen tinggi warga jabatan dalam melaksanakan tanggungjawab serta menyumbang kepada hasil negeri.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian sebanyak RM40,763,969.76 pada 2025 itu mencerminkan kecekapan dan dedikasi JPDS dalam pengurusan kutipan hasil.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya kepada pengarah dan seluruh warga JPDS atas pencapaian prestasi yang amat cemerlang membantu Kerajaan Negeri Sabah mencapai kutipan hasil sebanyak RM40,763,969.76 pada tahun lalu.
“Saya berada di kementerian ini lebih kurang lima bulan dan setiap kali ada perbincangan di kementerian, saya lihat komitmen tinggi JPDS, pengarah dan pegawainya untuk hadir serta memberikan pandangan. Sebab itu saya sangat yakin kutipan itu dapat dipertingkatkan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi dan Sanjungan Budi Tahun 2025 JPDS di sini, semalam.
Menurutnya, kementerian akan terus memainkan peranan bagi memastikan bukan sahaja kutipan hasil dapat ditingkatkan, malah motivasi warga JPDS turut diperkukuhkan.
Ewon berkata, pencapaian tersebut turut membuktikan peranan penting JPDS sebagai penyumbang signifikan kepada ekonomi Sabah, khususnya dalam sektor maritim.
“Ini adalah semangat Sabah First iaitu meletakkan kepentingan pembangunan negeri, kekuatan ekonomi tempatan dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap tindakan dan keputusan,” katanya.
Beliau menambah, kejayaan itu juga adalah hasil semangat kerjasama serta budaya kerja berintegriti yang menjadi teras kekuatan jabatan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha pendigitalan JPDS menerusi aplikasi E-JPDS yang disifatkan sebagai langkah ke hadapan dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Katanya, inisiatif itu selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Sabah untuk memperkukuh pelaksanaan Digital Government.
“Saya berharap JPDS akan terus proaktif meneroka inovasi baharu, memperluaskan penggunaan teknologi digital dan meningkatkan keupayaan warga kerja selari dengan perkembangan semasa,” katanya.
Mengulas mengenai majlis berkenaan, beliau berkata ia merupakan platform penting dalam menghargai sumbangan penjawat awam.
“Tahniah kepada tiga penerima Anugerah Khas Pengarah dan 23 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025. Diharapkan penganugerahan ini menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga JPDS,” katanya.






