KOTA BHARU – Seorang pelajar Tingkatan Enam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, kerana memiliki dua bom buatan sendiri dipercayai digunakan untuk serangan terhadap ‘The Better Festival Beer 2017’ di ibu negara, Oktober lalu.
Memetik kenyataan BH Online, tertuduh, Muhamad Hafizi Mat Jusoh, 19, yang sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) esok, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Hafizi didakwa memiliki dua butir ‘improvised explosive device’ (IED) di sebuah rumah di Kampung Merkang, Pasir Puteh, pada jam 6.05 petang, 10 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, dia yang dipercayai terbabit dengan kegiatan itu sejak berusia 12 tahun, didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebat maksimum enam kali.
Mahkamah menetapkan 6 Disember depan untuk tarikh jatuh hukum bagi kesalahan itu.
Tertuduh turut berdepan empat tuduhan lain iaitu memiliki gambar, video, serta dokumen mengenai perbuatan pengganas; memaparkan bahan yang berkaitan kumpulan pengganas Daesh; memberi latihan melalui aplikasi WhatsApp; dan hadir di tempat latihan pengganas di tanah lapang Gong Kulim, Pasir Puteh.
Bagaimanapun, tiada pengakuan terhadap semua kesalahan itu yang didakwa masing-masing mengikut Seksyen 130JB (1) (a); Seksyen 130JB (1) (b); Seksyen 130F (a) dan Seksyen 130 FB (1) (a), Kanun Keseksaan.
Sementara itu, di mahkamah sama, dua tertuduh iaitu Azmi Ahmad Rosli, 24, didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 130FA (a) kerana menerima latihan pengganas melalui WhatsApp; Seksyen FB (1) (a) dan Seksyen 130JB (1) (a).
Seorang lagi, Mahadi Ibrahim, 34, berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 130FA (a) serta Seksyen 130FB (1) (a), Kanun Keseksaan juga kesalahan berkaitan keganasan.
Pertuduhan membabitkan Seksyen 130F adalah pertama kali digunakan di negara ini yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.
Kesemua tertuduh termasuk Muhamad Hafizi tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor.
Mahkamah menetapkan 6 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes termasuk permohonan pemindahan bagi pertuduhan membabitkan kumpulan Daesh secara serentak di Mahkamah Tinggi Putrajaya.