KOTA KINABALU: Anak Allahyarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Muhammad Mustaqeem, tampil menggesa agar penggunaan video arwah ayahnya dalam kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah 2025 dihentikan segera.
Beliau berkata keluarga amat dukacita kerana video berkenaan digunakan tanpa kebenaran dan ditayangkan di luar konteks asal, sehingga menimbulkan salah faham serta mengeksploitasi nama baik arwah.
“Kami sekeluarga sangat tersentuh kerana kandungan itu tidak mencerminkan jasa dan sumbangan ayah saya sepanjang hayat beliau untuk rakyat Sabah,” katanya.
Mustaqeem menegaskan bahawa Allahyarham seorang tokoh yang dihormati dan telah banyak berbakti kepada negeri.
“Penggunaan imej, suara dan visual ayah saya untuk kempen politik tanpa izin adalah sesuatu yang tidak wajar, tidak bermaruah, dan tidak beretika,” tambahnya.
Beliau menyeru semua calon, penyokong parti, dan orang awam agar menghormati nama baik arwah dan menjaga tatasusila sepanjang tempoh kempen.
“Kami tidak menghalang rujukan terhadap legasi dan jasa ayah saya, tetapi ia mestilah dilakukan dengan cara yang benar, sopan, dan berlandaskan integriti,” tegas Mustaqeem.
Pihak keluarga berharap kempen politik berjalan dengan adab, sambil menghormati maruah insan yang telah meninggal dunia.






