Bot Tunda Ditahan Melakukan Pemindahan Air Tanpa Kebenaran

Bot Tunda Ditahan Melakukan Pemindahan Air Tanpa Kebenaran

0
SHARE
Bot tunda yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan kerana kesalahan melakukan pemindahan air tanpa kebenaran. Foto ihsan APMM...

LABUAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan telah menahan sebuah bot tunda kerana melakukan pemindahan air tanpa kebenaran di perairan Labuan, semalam.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, semasa rondaan rutin, pasukan operasi telah mengesan sebuah bot tunda sedang berhimpit pada sebuah kapal tangki di kedudukan 0.3 batu nautika dari Pulau Labuan.

“Berikutan aktiviti mencurigakan ini, penggeledahan dilaksanakan dan mendapati bot tunda terbabit disyaki telah melakukan aktiviti pemindahan kapal ke kapal (ship to ship transfer) iaitu memindahkan air tanpa kebenaran daripada pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Pemeriksaan juga mendapati nakhoda kapal, warga India bersama lapan kru yang terdiri daripada dua warga tempatan dan 6 warga Indonesia sedang melakukan kerja-kerja berkenaan,” katanya.

Bot tunda, nakhoda kapal bersama kesemua kru ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) yang boleh membawa hukuman kompaun RM50 ribu atau denda RM100 ribu jika sabit kesalahan.

“Komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah termaktub didalam perlembagaan bagi mengelakkan diri daripada terbabit dengan sebarang salah laku di perairan negara,” tambah beliau.