KUALA LUMPUR – Individu boleh memohon Sijil Digital Khas bagi pengecualian vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera jika mereka tidak boleh divaksin atas faktor perubatan atau mengalami alahan terhadap vaksin COVID-19 tertentu
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata sijil digital itu akan diperoleh dalam tempoh seminggu, jika permohonan lengkap dan mengikuti syarat ditetapkan.
Menurut Khairy, permohonan itu boleh dibuat dengan mengemukakan borang khas ‘Slip Penilaian Kesesuaian Menerima Vaksin COVID-19 bagi Pesakit dengan Masalah Kesihatan Tertentu’ yang mana ianya perlu disahkan pakar perubatan kepada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran.

Beliau menjelaskan bahawa pakar perubatan merujuk kepada pakar perubatan hospital swasta yang merawat individu terbabit, pakar perubatan atau pegawai perubatan merawat (semasa ketiadaan pakar perubatan) di hospital kerajaan yang pakar atau Pakar Perubatan Keluarga di klinik kerajaan.
“Pakar perubatan akan menasihatkan pengambilan vaksin dari jenis lain yang bersesuaian. Sebagai contoh, jika seseorang didapati menghidapi alahan kepada vaksin jenis Pfizer, vaksin jenis lain seperti Sinovac boleh diberikan…
“Jika individu ini disahkan tidak boleh mengambil sebarang jenis vaksin COVID-19 atas sebab perubatan, dia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih ketat secara kendiri seperti memakai pelitup muka, memastikan penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan lain-lain.
“Ini disebabkan individu terbabit lebih berisiko untuk mendapat jangkitan COVID19,” katanya menjawab soalan Isnarissah Munirah Majilis (WARISAN-Kota Belud) di Dewan Rakyat, hari ini.