KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun maut selepas kereta jenis Proton Gen-2 yang dipandunya terbabas sendiri di Jalan Sepanggar berhampiran Jabatan Laut, kira-kira jam 5.30 petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit pembahagi jalan lalu berhenti berhampiran tiang lampu jalan.
“Pasukan perubatan segera dikejarkan ke lokasi dan mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Likas untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.14 petang oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan di lokasi mendapati keadaan jalan raya baik dan cuaca ketika kejadian juga cerah.
Tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan tersebut. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, polis mengingatkan orang ramai bahawa sikap pemandu amat mempengaruhi keselamatan di jalan raya.
“Setiap pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati, mengawal kenderaan dengan baik, mematuhi had laju yang ditetapkan serta peka terhadap keadaan lalu lintas dan persekitaran,” tambah beliau.
Kasim turut menegaskan bahawa IPD Kota Kinabalu akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang trafik bagi memastikan keselamatan serta kelancaran perjalanan pengguna jalan raya.






