DAPSY Sabah Desak JPN Ikhtiraf Mahkamah Anak Negeri

DAPSY Sabah Desak JPN Ikhtiraf Mahkamah Anak Negeri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua DAPSY Sabah, Chan Loong Wei menggesa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan agensi persekutuan lain mengiktiraf surat serta pengesahan yang dikeluarkan Mahkamah Anak Negeri (MAN).

Beliau berkata, kegagalan berbuat demikian menyebabkan banyak keluarga luar bandar, khususnya yang beridentiti campuran, berdepan kesukaran apabila permohonan mereka tidak diterima meskipun telah disahkan oleh MAN.

“Bagi masyarakat pribumi dan keluarga luar bandar, Mahkamah Anak Negeri ialah tempat pertama dan paling dipercayai untuk mengesahkan identiti.

“Tetapi apabila JPN tidak mengiktirafnya, ia hanya menambah karenah birokrasi. Ini tidak adil dan mesti direformasikan,” tegasnya.

Chan mencadangkan JPN dan agensi berkaitan menubuhkan jawatankuasa bersama dengan MAN bagi melancarkan koordinasi serta mengurangkan pertindihan prosedur.

“Kita perlukan semua agensi duduk semeja. Jawatankuasa bersama adalah penyelesaian praktikal untuk elak rakyat ditolak ke sana sini,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen DAP memperkasakan MAN, termasuk cadangan mewujudkan Jabatan Kehakiman Anak Negeri agar setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Syariah.

“Kalau United Kingdom boleh ditadbir dengan undang-undang biasa tanpa perlembagaan bertulis, kenapa undang-undang adat kita harus diketepikan?

“Apa yang penting ialah rangka kerja pengiktirafan yang jelas,” ujar Chan.