Dr. Jeffrey Ingatkan Penduduk Untuk Berwaspada Ketika Musim Tengkujuh

Dr. Jeffrey Ingatkan Penduduk Untuk Berwaspada Ketika Musim Tengkujuh

0
SHARE
Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan...

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diarah untuk memastikan semua longkang monsun di Pantai Timur Sabah tidak tersumbat dan mampu menyalurkan air hujan dengan cekap keluar daripada kawasan bandar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata ini sebagai persediaan menghadapi hujan yang lebih lebat daripada biasa seperti diramalkan oleh Jabatan Meteorologi (MET).

“Hampir selalu, air hujan tidak dapat keluar dengan cepat di kawasan bandar kerana longkang tersumbat…

“Ia mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor dan sering kali ia adalah longkang yang dibina dengan teruk selain menjadi tempat longgokan sampah sarap.

“Tetapi sekarang bukan masanya untuk menuding jari. Apa yang lebih penting ialah kita bersedia untuk menghadapi situasi yang terburuk,” katanya.

Dr. Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan, menasihatkan mereka yang tinggal di kawasan rendah supaya berwaspada dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Semenanjung, di mana kawasan yang jarang dilanda banjir ditenggelami air dalam sehingga 12 kaki.

“Jika boleh, buat perancangan sekarang untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi, terutamanya jika anda tinggal di kawasan yang sering dilanda banjir…

“Ingat bahawa harta boleh diganti tetapi bukan nyawa,” ujarnya.