KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) diaktifkan serta-merta, khususnya di kawasan yang sering dilanda banjir susulan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum serta mempercepatkan koordinasi antara agensi keselamatan, jabatan teknikal dan pihak berkuasa tempatan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
“Dengan pengaktifan JPBD, sebarang bentuk bantuan dapat digerakkan dengan lebih pantas, termasuk kerja-kerja penyelamatan, pemindahan mangsa serta penyediaan keperluan asas di pusat pemindahan sementara,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Hajiji turut mengingatkan penduduk supaya sentiasa peka terhadap amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 379 mangsa daripada 123 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Beaufort dan Penampang.
Di Beaufort, seramai 149 mangsa daripada 53 keluarga ditempatkan di PPS Selagon.
Sementara itu, di Penampang, 230 mangsa daripada 70 keluarga dipindahkan ke tiga PPS iaitu Kompleks Sukan Penampang (83 orang), SK St Paul Kolopis (50 orang) dan Dewan Huguan Siou (97 orang).
Jumlah itu melibatkan 127 lelaki dewasa termasuk warga emas, 139 wanita dewasa serta warga emas, manakala selebihnya 113 terdiri daripada kanak-kanak dan bayi.
Hajiji menegaskan penduduk di kawasan berisiko banjir dan tanah runtuh agar segera berpindah jika diarahkan pihak berkuasa.
“Jangan ambil risiko berada di kawasan bahaya. Keselamatan keluarga mesti diutamakan. Kerajaan akan memastikan bantuan makanan, logistik dan keperluan lain terus disalurkan kepada semua mangsa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengesahkan berlaku tanah runtuh yang menimbus sebuah rumah separuh kekal dua tingkat di Kampung Sarapung, Penampang kira-kira jam 6.10 petang Khamis.
Menurut laporan operasi, terdapat dua mangsa dalam kejadian itu. Seorang wanita berjaya diselamatkan oleh orang awam dengan kecederaan ringan, manakala seorang lelaki berusia 97 dilaporkan telah ditemui meninggal dunia akibat tertimbus runtuhan tanah.






