PUTATAN: Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Tuaran mencatat sejarah apabila berjaya menganjurkan Program Semarak Merdeka Malaysia MADANI 2025 Peringkat Zon Sabah dengan gilang-gemilang, melibatkan lebih 325 peserta termasuk murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK), guru, ibu bapa dan komuniti.
Buat pertama kali, SKPK Tuaran bergabung dengan SKPK Kota Kinabalu dalam penganjuran program yang meriah dengan pameran pertahanan, hidupan liar, sains, teknologi, seni dan budaya, selain pelbagai aktiviti melibatkan MBPK secara langsung.
Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Khas JPN Sabah, Roselind Sakai, berkata ia bukti nyata bahawa apabila sekolah, ibu bapa, agensi kerajaan, NGO dan masyarakat berganding bahu, mampu memberi impak besar kepada pendidikan khas di Sabah.
Beliau menegaskan erti kemerdekaan sebenar hanya dapat dirasai apabila MBPK tidak lagi dianggap kelompok tersisih.
“Kita tidak lagi melihat murid berkeperluan khas sebagai kelompok tersisih, sebaliknya mereka diraikan, diangkat martabatnya dan diberi ruang untuk menyinar dengan bakat serta semangat mereka,” beliau berkata dalam ucapan penutupnya.
Program tersebut disifatkan sebagai luar biasa kerana bukan sahaja meraikan bulan kebangsaan, tetapi turut menampilkan SKPK Tuaran sebagai ikon kecemerlangan pendidikan khas di Malaysia.






