Warga Emas Tertimbus Tanah Runtuh di Kg. Sarapung Ditemui Maut

Warga Emas Tertimbus Tanah Runtuh di Kg. Sarapung Ditemui Maut

0
SHARE

PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas berusia 97 tahun yang dilaporkan hilang selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Sarapung, Kolopis, semalam, ditemui meninggal dunia pagi kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 10.40 pagi di lokasi kejadian dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan sebarang imej atau klip video kejadian di media sosial demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

“Orang awam juga dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan terutama ketika berada di kawasan berisiko tanah runtuh atau semasa cuaca buruk bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” tegasnya.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan Balai Bomba Penampang pada 11 September, sekitar jam 6.55 petang.

Dalam operasi berkenaan, seorang lagi mangsa wanita dilaporkan cedera ringan tetapi stabil.

Operasi melibatkan 30 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Angkatan Pertahanan Awam, unit khas STORM, Unit Drone, selain bantuan penduduk kampung.

Pasukan penyelamat berdepan kesukaran apabila laluan dinaiki air, memaksa mereka berjalan kaki sejauh 3 kilometer ke lokasi.