SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru umat Islam di negeri ini untuk sentiasa menghayati sirah Nabi Muhammad SAW bukan sekadar pada sambutan atau lisan semata-mata, tetapi melalui amalan dalam kehidupan seharian.
Beliau menegaskan, penghayatan itu adalah tanda kecintaan terhadap Rasulullah SAW serta komitmen untuk menjadikan sunnah Baginda dan Islam sebagai Ad-din dalam membentuk masyarakat madani yang progresif, sejahtera dan berakhlak mulia.
“Rasulullah SAW membina masyarakat Madinah berasaskan keimanan, keadilan sosial dan perpaduan kaum. Model inilah yang perlu kita contohi, disesuaikan dengan realiti Sabah sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya dan agama,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika menyampaikan perutusan perasmian Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1447H/2025M yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Dewan Masyarakat Sandakan, hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendidikan agama, institusi Islam, serta memperkasa golongan belia dan wanita selaras dengan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan aspek pembangunan modal insan.
Katanya, tema sambutan tahun ini, “Membangun Ummah Madani”, amat bertepatan dengan cabaran semasa negeri ini.
“Ia melambangkan agenda utama kerajaan dalam membina masyarakat seimbang dari segi spiritual dan material, menjunjung nilai Islam dalam konteks kemajuan, kemakmuran dan perpaduan,” jelasnya.
Beliau turut mengumumkan bahawa acara sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri akan diperluaskan ke daerah-daerah utama, bukan lagi tertumpu di ibu negeri semata-mata. Langkah itu, katanya, memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk turut serta dalam perarakan dan perhimpunan yang bermakna bersama pemimpin negeri.
Dalam pada itu, Hajiji berkata pembinaan Pusat Islam Sandakan yang kini hampir siap merupakan hasil ilham Tun Musa Aman ketika beliau menjadi Ketua Menteri pada 2017.
“Kompleks ini bukan sahaja akan menjadi mercu tanda baharu bandar Sandakan, malah mengangkat syiar Islam di negeri ini. Insya-Allah, Sandakan akan terus dibangunkan secara holistik dan inklusif sejajar dengan pelan Hala Tuju SMJ, khususnya dalam sektor pendidikan, pelancongan, perniagaan dan perdagangan,” katanya.






