Lahad Datu: Polis Daerah Lahad Datu menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 63 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes curi sebuah telefon bimbit di sebuah restoran di Bandar Sri Perdana, di sini, pada pagi Khamis.
Polis Lahad Datu memaklumkan, dalam kejadian pada 2 September lalu kira-kira jam 12.30 tengah hari, mangsa yang juga pekerja restoran menyedari telefon bimbitnya hilang.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki tidak dikenali mengambil telefon tersebut di kaunter pembayaran.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu berjaya menahan suspek pada 4 September 2025 jam 11.00 pagi di tepi jalan Kampung Puyut, Jalan Panji. Polis turut menemui semula telefon bimbit yang dicuri.
“Hasil ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine/Methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan. Bagi kesalahan berulang, hukuman penjara dan sebatan adalah wajib.
Suspek kini direman di Mahkamah Lahad Datu untuk siasatan lanjut.






