Giorgio Armani Meninggal Pada Usia 91 Tahun, Legasi Kekal

Giorgio Armani Meninggal Pada Usia 91 Tahun, Legasi Kekal

0
SHARE

MILAN: Selepas pemergian Giorgio Armani pada usia 91 tahun semalam, dunia fesyen tertanya-tanya nasib empayar yang dibinanya selama lebih lima dekad.

Armani tidak meninggalkan zuriat atau isteri tetapi beliau sudah lama merancang agar jenamanya tidak sekadar bertahan, malah terus bebas daripada pengaruh luar.

Sejak tahun 2016, Armani menubuhkan sebuah yayasan untuk menjaga legasi hidupnya.

Beliau menetapkan syarikatnya tidak boleh dijual atau disenaraikan di pasaran saham sekurang-kurangnya selama lima tahun.

Tujuannya jelas bagi memastikan jenama Armani kekal merdeka dan tidak mudah digadai.

Kepimpinan empayar fesyen ini dijangka beralih kepada individu terdekat yang telah lama bersama beliau iaitu dua saudaranya Silvana dan Roberta, anak saudara Andrea Camerana, serta rakan karibnya Pantaleo Dell’Orco. 

Mereka bersama yayasan yang memegang majoriti saham bakal memikul amanah untuk mengekalkan roh dan visi Armani.

Dari segi kewangan, syarikatnya masih kukuh. Dengan hasil tahunan mencecah kira-kira RM11.8 bilion dan tunai bersih sekitar RM2.9 bilion, Armani meninggalkan sebuah perniagaan yang stabil dan berdaya saing.

Pelaburan dalam butik utama serta platform digital diteruskan, tanda bahawa jenama ini tidak akan berhenti berkembang walaupun pengasasnya telah tiada.