KOTA KINABALU: Orang ramai yang mengunjungi Pantai Tanjung Aru dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti air buat sementara waktu selepas seekor buaya dikesan berenang di perairan pantai berkenaan pagi tadi.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu dalam satu kenyataan memaklumkan, reptilia itu dilihat kira-kira jam 7.50 pagi oleh anggota penyelamat pantai ketika menjalankan tinjauan keadaan semasa di kawasan perairan pantai tersebut.
Menurut APM, buaya berkenaan dikesan berada pada jarak kira-kira 100 meter dari Menara Penyelamat Pantai Tanjung Aru.
“Sejurus menyedari kehadiran buaya tersebut, anggota penyelamat pantai segera memaklumkan kepada pengunjung di sekitar kawasan pantai supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti di dalam air buat sementara waktu demi keselamatan,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.
Menurut APM, beberapa anggota kemudiannya menuju ke lokasi berkenaan dan cuba melakukan tangkapan terhadap haiwan tersebut, namun buaya itu berjaya menghilangkan diri.
Bagaimanapun, pemantauan berterusan masih dijalankan oleh anggota penyelamat di kawasan perairan pantai tersebut.
Sebagai langkah keselamatan, bendera merah telah dinaikkan di Menara Penyelamat Pantai sebagai tanda amaran bahaya kepada pengunjung.
“Orang ramai diminta tidak melakukan sebarang aktiviti air di sekitar Pantai Tanjung Aru sehingga dimaklumkan kelak,” menurut kenyataan itu lagi.
APM turut memaklumkan bahawa kejadian tersebut telah dilaporkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut serta mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan keselamatan demi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.






