Tiga Lelaki Tempatan Ditahan Disyaki Curi Kabel di Kota Marudu

Tiga Lelaki Tempatan Ditahan Disyaki Curi Kabel di Kota Marudu

0
SHARE

KOTA MARUDU: Tiga lelaki warga tempatan berusia antara 21 hingga 25 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel dalam satu serbuan di Kampung Tagas, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Simiun Lomudin berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 10.30 pagi oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu.

Menurutnya, serbuan itu dijalankan susulan maklumat orang awam yang melihat suspek sedang membakar kabel di kawasan berkenaan.

“Hasil serbuan, polis menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel. Turut dirampas longgokan kabel yang telah dibakar serta sebuah kereta Proton Iswara yang dipercayai digunakan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Simiun berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek berasal dari Kampung Bengkongan dan Ranau, serta mempunyai rekod kesalahan lampau.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Katanya, kesemua suspek akan direman bagi membantu siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan.

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan tangkapan tersebut.

“Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang membantu menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan dalam usaha memerangi jenayah di daerah ini,” katanya.