Buaya Liar Ditangkap di Kg Jagung Merotai, Penduduk Resah Buaya Makin Kerap...

Buaya Liar Ditangkap di Kg Jagung Merotai, Penduduk Resah Buaya Makin Kerap Muncul

0
SHARE

TAWAU:Penduduk Kampung Jagung, Merotai kembali dikejutkan dengan kemunculan seekor buaya liar di kawasan kampung mereka, seperti dikongsikan oleh pengguna Facebook, Ida Japar pada 30 Oktober lalu.

Menurut beliau, reptilia itu berjaya ditangkap hasil kerjasama penduduk kampung bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Penangkapan terbaharu ini menambah kepada siri insiden kemunculan buaya di kawasan pantai timur Sabah sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Sebelum ini, beberapa operasi menangkap buaya turut direkodkan melibatkan pasukan Jabatan Hidupan Liar dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di beberapa lokasi tumpuan seperti Sandakan, Kunak dan Semporna.

Rekod insiden lalu menunjukkan trend peningkatan kemunculan buaya di kawasan penempatan manusia, sekaligus meningkatkan ancaman keselamatan kepada masyarakat setempat.

Buaya yang semakin kerap muncul di sungai, kawasan kolong rumah, termasuk tebing kampung, mencetuskan kebimbangan penduduk setempat yang kini berdepan risiko serangan secara mengejut.

Pihak berkuasa juga mengingatkan bahawa buaya bersaiz besar memiliki keupayaan menyerang dalam tempoh singkat dan tidak diduga, terutama pada waktu malam atau dalam keadaan air keruh.

Orang ramai dinasihatkan meningkatkan waspada, mengelakkan aktiviti di tebing sungai tanpa pengawasan, serta segera membuat laporan sekiranya terlihat kelibat buaya demi menjamin keselamatan komuniti setempat.