TEMERLOH, PAHANG – Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam Sungai Pahang kelmarin ditemui terapung berhampiran Kampung Batu Bor, Bera dekat sini, hari ini, Selasa.
Timbalan Komander Operasi Zon Timur Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Mohd Arshad Abdullah berkata mayat Othman Wahid, 44, ditemui pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 11.06 pagi.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian. Mayat dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kelmarin, Othman yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dikhuatiri lemas selepas terjun ke Sungai Pahang dari atas Jambatan Sultan Ahmad Shah Temerloh di sini.
Bapanya Wahid Kadir, 84, berkata anak sulungnya daripada 11 beradik itu dipercayai kurang siuman dan kali terakhir dilihat di rumah di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau di sini pada Sabtu lepas.
– Bernama