SHAH ALAM, SELANGOR – Seorang suspek kes rompak dan rogol yang melarikan diri dari tahanan Polis ditahan semula pada jam 7.00 pagi tadi selepas 17 jam melarikan diri.
Warga Indonesia yang berusia 27 tahun itu ditangkap di Seksyen 26, Kampung Baru Hicom Shah Alam, yang terletak 20km dari mana dia melarikan diri.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohd Yusoff Mamat, suspek sudah merancang untuk melarikan diri, malah mengupah seorang lelaki untuk menghantarnya ke tempat tinggalnya di Kampung Baru Hicom Shah Alam.
“Lelaki itu ditahan sekumpulan penyiasat yang pergi ke kampung itu pada 1.00 pagi selepas menerima maklumat risikan bahawa suspek sudah pulang ke sana,” kata Yusoff hari ini.
Suspek warga Indonesia ini melarikan diri melalui tandas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, kira-kira jam 3 kelmarin. Siasatan awal mendapati suspek berpura-pura ke tandas untuk membuang air namun dia kemudian mengopak jeriji besi pada tingkap di tandas itu.
Ekoran kejadian itu, satu pencarian secara besar-besaran dijalankan oleh pihak polis sebelum suspek berjaya ditahan semula.
Kira-kira jam 4 pagi pada 7 Jun lalu, suspek dikatakan merogol seorang wanita berusia 34 tahun ketika dia dan dua lagi rakannya memecahkan masuk rumah mangsa di Kampung Rantau Panjang. Ketika kejadian, suami mangsa sedang tidur di ruang tamu bersama-sama anak lelaki pasangan itu yang berusia empat tahun.
Menurut Mohd Yusof lagi, “suspek sudah menukar pakaiannya dan memotong salah satu gari, yang tergantung di pergelangan tangannya ketika dia ditahan semula. Dia memotong gari dengan bantuan lelaki yang diupah RM60 untuk menghantarnya ke kampung itu. Kami sedang menjejaki lelaki itu.
“Selepas membebaskan diri, suspek sempat merompak seorang wanita dan cuba merogolnya. Kini kami menyiasat kejadian itu juga. Suspek akan didakwa di mahkamah. Kami dijangka membawanya ke mahkamah tidak lama lagi,” kata Yusoff lagi.