KUALA LUMPUR: Kumpulan Barbarik mengumumkan konsert Pentas Barbarik Volume 2 akan berlangsung di Mega Star Arena, di sini, pada 31 Januari ini, berbeza daripada lokasi asal yang diumumkan sebelum ini, menurut laporan Harian Metro.
Pemilihan lokasi berhawa dingin yang berkapasiti kira-kira 5,000 penonton itu dibuat bagi memastikan keselesaan peminat selain membolehkan persembahan berskala lebih besar dan tersusun.
Pemain gitar Barbarik, Jo Branko, berkata penganjuran konsert berkenaan telah lama berada dalam perancangan dan bukan bertujuan menutup kontroversi yang berlaku sebelum ini.
Menurutnya, Barbarik mengambil tanggungjawab penuh terhadap peminat dengan memastikan pengurusan konsert kali ini lebih kemas serta memberi jaminan tiada isu jualan tiket berlebihan.
“Pentas Barbarik Volume 2 adalah tanda kesungguhan kami untuk membalas sokongan luar biasa peminat dan menyampaikan persembahan terbaik,” katanya pada sidang media pengumuman konsert itu, malam tadi.
Konsert berkenaan bakal menampilkan barisan anggota Barbarik iaitu Eddie, Black, Jojet, Mel, serta penampilan khas Karl Cromok, yang dijangka menghangatkan pentas.
Jo Branko berkata, konsert itu dirancang berlangsung selama dua jam 30 minit dengan 30 peratus repertoir berbeza, termasuk pemilihan lagu yang tidak dipersembahkan dalam konsert sebelum ini.
Harga tiket ditawarkan bermula RM138, RM168, RM268 (duduk), RM368 (VIP duduk) dan RM1,500 (VIP), dengan penjualan tiket dibuka secara dalam talian bermula 12 tengah tadi.






