KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri dengan tegas tidak akan memberi kad pengenalan atau kewarganegaraan kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang telah menerima suntikan dos vaksin.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan Orang Asal yang masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri kelmarin pihaknya sentiasa memastikan hak, keselamatan dan kepentingan rakyat Sabah.
Manakala menjawab isu berkenaan Sabah Forest Industries (SFI) yang diusulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Hajiji berkata Kerajaan Negeri telah menamatkan Perjanjian Lesen SFI bermula 1 September 2021.

Tujuan ini bagi membebaskan kawasan konsesi tersebut daripada sebarang ikatan Receiver and Manager (R&M) dan Perjanjian Jual Beli (Sales and Purchase Agreement).
Kerajaan Negeri turut mengambil langkah untuk memulakan operasi huluan di kawasan konsesi dan industri hiliran untuk memastikan sumber hutan dapat diurus dengan cekap.
“Kawasan konsesi lesen tersebut adalah hak Sabah yang tidak boleh digadaikan dan kita mempunyai hak untuk menentukan penggunaan sumber hutan simpan tersebut dengan sebaiknya demi kepentingan umum, khususnya para pekerja dan rakyat Sabah umumnya…
“Strategi dan tindakantindakan tersebut akan dilaksanakan dengan segera agar kilang-kilang dapat diaktifkan semula dan para pekerja SFI yang terjejas diberikan peluang pekerjaan semula sebaik mungkin,” Hajiji berkata.