KM HAJIJI PASTIKAN SABAH DAPAT BAHAGIAN LEBIH BESAR HASIL MINYAK DAN GAS

KM HAJIJI PASTIKAN SABAH DAPAT BAHAGIAN LEBIH BESAR HASIL MINYAK DAN GAS

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sebuah Jawatankuasa Teknikal di peringkat negeri telah dibentuk bagi memastikan Sabah mendapat bahagian yang lebih besar daripada hasil minyak dan gas yang dihasilkan di Sabah.

Tanggungjawab jawatankuasa berkenaan adalah untuk memperincikan syor dan cadangan negeri untuk dibawa dalam perundingan syarikat PETRONAS dan Kerajaan Persekutuan.

Ini termasuk Perundingan Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata objektif adalah untuk memberi kuasa lebih besar buat negeri Sabah dalam membuat keputusan mengenai pembangunan minyak dan gas di negeri ini.

“Ia juga bagi memastikan negeri ini mempunyai peluang lebih besar melalui pencalonan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyertai dan melabur dalam aktiviti minyak dan gas (huluan dan hiliran),” jelasnya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin (23 Sept)…

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Haji Masidi Manjun, dan dianggotai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Peguam Besar Negeri, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Penasihat Undang- Undang kepada Ketua Menteri dan Datuk Seri Lim Haw Kuang iaitu Mantan Pengerusi, Shell Malaysia.

Manakala Perundingan Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) di antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS akan dipimpin dan dikendalikan oleh Kementerian Kewangan di bawah Jawatankuasa Bersama yang dipengerusikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, bagi pihak Kerajaan Persekutuan.

Hajiji berkata beliau sendiri telah berbincang dengan Zafrul dan di samping itu, beliau bersama Masidi telah telah mengadakan perundingan awal dengan Pengerusi serta Presiden Dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS pada 24 Ogos lalu.

“Respon yang diterima daripada pihak PETRONAS amat positif. Kita akan memastikan susulan dibuat di peringkat pegawai melalui Jawatankuasa Teknikal…

“Negeri Sabah berhak untuk mendapat bahagian yang lebih besar daripada hasil minyak dan gas yang dihasilkan di dalam negeri.

“Kerajaan Negeri akan memastikan hak dan kepentingan negeri sentiasa ditegakkan dan dilindungi dan akan memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah,” tegasnya.