KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah yang sebelum ini melakukan kesilapan besar apabila menamatkan Rakan Penyampaian Projek (PDP) Lebuhraya Pan Borneo.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata tindakan tersebut dibuat tanpa berfikir panjang iaitu mengambil kira keperluan untuk menerbitkan Sukuk terlebih dahulu.
Katanya pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang terdiri dari 3 Fasa iaitu sepanjang 1,236 km dengan kos RM40.2 Billion.
“Jajaran untuk Fasa 1 sejauh 706 km dengan kos RM15.2 Billion adalah terdiri dari 35 pakej yang telah disiapkan Reka Bentuknya…
“Sebanyak 15 pakej lagi adalah dalam peringkat pembinaan sejauh 317,6 km dengan kos RM7.98 Billion adalah di bawah biayaan Kerajaan Persekutuan.
“Hanya satu (1) pakej telah diluluskan untuk tahun ini dan bakinya yang sebanyak 19 pakej (tidak termasuk tiga pakej tambahan) adalah masih menunggu kelulusan peruntukan yang selanjutnya dari Kerajaan Persekutuan,” beliau berkata di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, kelmarin (23 Sept).

Menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin berkenaan kelewatan pelaksanaan fizikal projek Pan Borneo, Bung berkata semua pakej-pakej ini berada pada landasan yang tepat dan sedang dalam proses pembinaan.
“Prestasi Fizikal bagi ‘Work Package 01’ telah mencapai 59 peratus (59%) manakala bagi ‘Work Package 02’ pula, ianya telah mencapai 30 peratus (30%)…
“Work Package 01 yang menghadapi sedikit kelewatan adalah disebabkan oleh pengalihan utiliti seperti tiang eletrik dan sub-station.
“Selain daripada itu factor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghadkan bilangan pekerja juga telah menyumbang kepada kelewatan ini. Sungguhpun Work Package 02 ini mengalami masalah yang sama, ianya masih mengikut jadual yang disasarkan,” jelasnya.
Katanya lagi, pihak Jabatan Kerja Raya Sabah juga akan senantiasa memastikan sistem perparitan di sepanjang laluan Projek Lebuhraya Pan Borneo tidak menjadi faktor berlakunya banjir dan selalu diselenggarakan.