TAWAU, SABAH – Pemandu sebuah lori pembancuh simen disahkan maut selepas kenderaan berat itu terbalik di bahu jalan berhampiran Loji Cinta Mata, Jalan Table, sini, pagi tadi.
Mangsa lelaki berusia 40an disahkan meninggal dunia oleh pihak polis dalam kejadian kira-kira 9.50 pagi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata seorang jurucakap bagi agensi.
Operasi membabitkan sepasukan lapan yang diketuai PBK II KUP Syed Muhd Rudaifi yang kemudian ditamatkan pada jam 11.35pagi.
Dalam kes berasingan di Kampung Takuli, Beaufort, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara musnah dalam kebakaran 11.35 pagi.
Sepasukan enam bomba daerah sampai ke lokasi pada pukul 12 tengah hari di mana api telah pun dipadam orang awam menggunakan air.
“Tindakan pasukan bomba hanya menjalankan pemeriksaan untuk memastikan tiada keberbahayaan lain di lokasi,” kata sumber yang sama sambil menambah kenderaan terbabit terbakar 100 peratus.