Masidi Dilantik Timbalan Pengerusi, Armizan Ambil Alih Jawatan Setiausaha Agung GRS

Masidi Dilantik Timbalan Pengerusi, Armizan Ambil Alih Jawatan Setiausaha Agung GRS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dilantik sebagai salah seorang daripada lima Timbalan Pengerusi dalam gabungan kerajaan negeri, Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Memetik Laporan Free Malaysia Today (FMT), pelantikan itu dibuat susulan pengunduran Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu daripada gabungan berkenaan. Sebelum ini, Presiden Usno, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memegang jawatan Timbalan Pengerusi GRS.

Empat lagi Timbalan Pengerusi GRS kekal disandang oleh Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Presiden Parti Cinta Sabah, Datuk Anifah Aman; Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah; serta Presiden Liberal Democratic Party, Chin Su Phin.

Dalam perkembangan sama, jawatan Setiausaha Agung GRS yang sebelum ini disandang Masidi kini diambil alih Ahli Parlimen Papar merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, yang sebelum ini merupakan Timbalan Setiausaha Agung gabungan itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai, dilantik semula sebagai Ketua Penerangan GRS.

GRS turut menampilkan dua muka baharu dalam barisan kepimpinan tertinggi gabungan itu apabila pemimpin PBS, Datuk Lo Su Fui dilantik sebagai Bendahari Agung GRS menggantikan Ardino Diris.

Lo yang juga Ahli Parlimen Tawau merupakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan serta Timbalan Bendahari Agung PBS.

Seorang lagi muka baharu ialah Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Mohamed Razali Razi yang mengambil alih jawatan Timbalan Setiausaha Agung GRS daripada Armizan.

Rombakan kepimpinan itu dilakukan susulan perubahan dalam struktur gabungan selepas pengunduran Usno daripada GRS.