KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri akan mewujudkan Bandar Pintar atau “Smart City” di beberapa kawasan tumpuan, yang akan dipacu oleh pelan strategik Kerajaan Digital, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, pembangunan bandar-bandar pintar itu bagi mewujudkan eko-sistem ekonomi digital dan pembudayaan digital dalam meningkatkan kualiti hidup yang akan memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Beliau berkata, ia adalah selaras dengan teras ketiga Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.
“Strategi yang digariskan di bawah teras ini meliputi usaha membina dan menambah baik jaringan infrastruktur darat, laut, udara dan infrastruktur komunikasi; melaksanakan pendigitalan perkhidmatan; serta meningkatkan akses dan kesamarataan dalam menikmati kemudahan infrastruktur,” katanya ketika melancarkan Aplikasi E-Jariah Sabah di Dewan Bankuasi Utama, Menara Kinabalu, hari ini.
Hajiji berkata, sejajar dengan pembudayaan digital, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) melakar sejarah baharu membangunkan aplikasi PBNS yang pertama dikenali sebagai E-Jariah Sabah, menerusi kerjasama dengan TM One iaitu cabang perniagaan Telekom Malaysia Berhad.
Menurutnya, aplikasi itu akan memudahkan orang ramai termasuk mereka yang bekerja sama ada dalam sektor kerajaan, swasta, syarikat atau perseorangan, membuat sumbangan jariah atau sedekah hanya melalui telefon pintar.
“Ia bukan saja mudah dan pantas, malah lebih selamat tanpa perlu bersemuka, dalam keadaan pandemik ketika ini,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri berbesar hati dengan komitmen PBNS yang mempelbagaikan aktiviti kutipan sumbangan mereka melalui kaedah yang mudah dan bersesuaian dengan peredaran terkini.
“Saya percaya dengan adanya aplikasi ini, ia memudahkan orang Islam secara keseluruhannya terutama yang bekerja menggunakan kaedah ini dengan membuat potongan gaji secara bulanan dan mengikut kemampuan masing–masing kepada PBNS…
“Secara tidak langsung ini akan dapat membantu Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah melaksanakan aktiviti agihan mereka yang akan memberikan manfaat kepada golongan sasar dan memerlukan di negeri ini,” tegasnya.
Hajiji berharap orang awam dapat memanfaatkan aplikasi E-Jariah dengan sepenuhnya kerana ia akan memudahkan orang ramai untuk membuat sumbangan walau di mana sahaja berada.
Menurutnya, penggunaan teknologi digital begitu meluas pada hari ini dan secara tidak langsung telah mengubah cara hidup masyarakat.
“Penularan pandemik COVID-19 telah menuntut kita untuk hidup dalam norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sekali gus penggunaan aplikasi digital menjadi alternatif baharu dalam memenuhi keperluan seharian kita…
“Peranan dan penggunaan teknologi digital telah mengambil alih dan membantu menyelesaikan urusan seharian kita dengan selamat, mudah dan pantas, iaitu dengan menggunakan pelbagai aplikasi yang dibangunkan pada hari ini, yang boleh diakses hanya melalui telefon mudah alih dan peranti elektronik yang lain,” tambahnya.