IPOH, PERAK – Umum mengetahui Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu GAGAL memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.
Usul undi percaya yang dibawa oleh Datuk Abd Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) itu mendapat 10 undi sokongan, 48 undi menolak manakala satu (1) undi rosak menerusi undi belah bahagi.
Wakil rakyat UMNO bersama 24 ADUN Pakatan Harapan (PH) yang lainnya telah bersepakat menolak Menteri Besar Perak yang mewakili Perikatan Nasional (PN) tersebut dalam undi yang dibuat secara rahsia.
Kesemua wakil rakyat PAS dikatakan telah mengundi menyokong MB Perak tersebut, namun masih belum mencukupi kerana hampir kesemua ADUN UMNO telah bergabung dengan ADUN PH bagi menolak undi percaya tersebut
Sebelum ini di peringkat Kerajaan Persekutuan juga timbul ura-ura yang mengaitkan perubahan kerajaan apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menghadap DYMM Yang di-Pertua Agong bagi mempersembahkan senarai nama MP UMNO yang menyokong Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang turut dikenali dengan panggilan ‘Peja’ adalah individu yang bertanggungjawab menumbangkan Kerajaan PH di Perak sebelum ini.
Peja dikatakan turut berjaya membawa dua (2) wakil rakyat DAP bagi menyokong pembentukan Kerajaan PN di Perak.
UMNO dan DAP mempunyai kerusi terbanyak dalam DUN Perak, masing-masing 25 dan 16 kerusi.
Amanah mempunyai lima (5) kerusi, diikuti Bersatu (5), PKR dan PAS masing-masing tiga (3) kerusi, Gerakan (1) dan BEBAS satu.
Sementara itu, satu sumber DAP mendedahkan komposisi penyertaan ADUN parti-parti yang menolak kepimpinan Ahmad Faizal adalah berjumlah 48 orang merangkumi 24 ADUN UMNO dan 24 ADUN Pakatan Harapan (PH) terdiri DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah.
Menurut beberapa orang penganalisis politik berkata, selepas gerakan di Perak ini tidak mustahil UMNO akan melakukan pula gerakan yang serupa di peringkat Persekutuan, malahan usaha untuk mengusulkan undi percaya terhadap PM juga telah dilakukan oleh Presiden UMNO sebelum ini di Parlimen semasa sesi perbahasan.
“Sudah tentu pemimpin Parti DAP yang paling gembira apabila Peja disingkirkan oleh UMNO kerana dendam mereka apabila Kerajaan PH berjaya ditumbangkan melalui ADUN yang melompat bagi menyokong pembentukan Kerajaan PN di Perak…
“Ini adalah peluang yang terbaik untuk menyerapkan sekutu DAP bagi menyertai pembentukan kerajaan dengan UMNO sekiranya ADUN PAS termasuk BERSATU, Gerakan dan Bebas enggan menyertai Kerajaan baharu bersama UMNO.”
“Serangan oleh beberapa orang pemimpin UMNO ke atas DAP juga berkemungkinan hanya satu sandiwara. Pemimpin tertinggi UMNO sebenarnya secara sembunyi telah mengatur strategi dengan pimpinan PH bermula di Perak untuk menumbangkan Kerajaan PN yang didokong oleh tiga (3) Parti Bumiputera.”
Dalam pada itu memetik sumber Sinar Harian, ADUN UMNO Perak dalam satu kenyataan hari ini menyatakan UMNO bersedia untuk membentuk Kerajaan Perak yang baharu bersama Parti Amanah sekiranya ADUN PAS, Bersatu dan Bebas enggan menyokong pembentukan Kerajaan baharu di Perak. Parti Amanah adalah parti sekutu DAP.
Ahli Parlimen UMNO Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz juga turut mencadangkan agar UMNO bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membentuk kerajaan baharu di negeri itu.