PEMBANGUNAN SAKSAMA PASTIKAN TIADA KAUM TERPINGGIR: KM HAJIJI

PEMBANGUNAN SAKSAMA PASTIKAN TIADA KAUM TERPINGGIR: KM HAJIJI

0
SHARE
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor...

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri sentiasa memastikan pembangunan yang saksama bagi memastikan tiada kaum yang terpinggir di negeri ini, termasuk dalam aspek kebudayaan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, ini seiring dengan komitmen kerajaan yang sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan kesederhanaan terhadap segala polisi, menggalakkan setiap kumpulan etnik termasuk kaum Tionghua di Sabah menerus dan memajukan kebudayaan masing-masing.

Katanya, kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah RM56.75 juta untuk badan keagamaan bukan Islam, mubaligh, sekolah jenis kebangsaan dan persendirian di Sabah pada tahun ini.

“Jumlah peruntukan ini merupakan peningkatan sebanyak RM2.7 juta berbanding
RM54.05 juta pada tahun lalu.

Peningkatan peruntukan ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri amat prihatin dan serius dalam membantu masyarakat di negeri Sabah tanpa mengira kaum, bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Perayaan Ulang Tahun Ke-30 dan Majlis Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa Pusat Penggal Ke-14 Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) di Dewan Hakka, Teluk Likas pada Jumaat.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri, Datuk Phoong Jin Zhe.

Katanya, sejak sekian lama, FCAS turut memainkan peranan penting membantu kerajaan peningkatan ekonomi negeri ini dan berharap kesepaduan dan kerjasama yang erat dalam FCAS diterjemahkan untuk menyokong dan membantu kerajaan meningkatkan lagi pembangunan di Sabah.

“Saya mahu peranan ini berterusan untuk sama-sama menyokong usaha kerajaan khususnya dalam menjayakan pelbagai inisiatif dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Dengan pengaruh, kepakaran dan rangkaian FCAS yang luas, saya yakin gabungan ini akan memanfaatkan semua inisiatif kerajaan serta memainkan peranan dalam usaha membantu negeri ini, terutama membawa lebih ramai pelabur datang ke negeri ini,” katanya.