KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan keputusan untuk terus kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibuat secara rasional dengan berpandukan fakta dan data, bukannya didorong emosi atau tekanan politik, kata Pemangku Presidennya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Berucap pada Kongres PBS Ke-40, Joachim berkata, sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) 2025, PBS berdepan pelbagai tekanan dan desakan supaya keluar daripada GRS, bertanding secara solo atau membentuk gabungan lain, namun kepimpinan parti memilih pendekatan berfakta demi kepentingan jangka panjang Sabah.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira analisis pilihan raya, pola undi, keperluan kestabilan politik negeri serta prestasi ekonomi Sabah di bawah pentadbiran kerajaan GRS.
Beliau berkata data menunjukkan kerusi majoriti Kadazan-Dusun-Murut (KDM) hanya boleh dimenangi melalui gabungan yang stabil, manakala kerusi campuran memerlukan sokongan jentera dan rangkaian GRS bagi memastikan kemenangan.
Joachim turut menegaskan pencapaian ekonomi Sabah di bawah GRS membuktikan keberkesanan pentadbiran yang stabil, dengan rizab negeri meningkat daripada RM3.5 bilion pada 2020 kepada RM8.3 bilion pada 2025, selain pendapatan negeri melepasi RM7 bilion, tertinggi dalam sejarah.
“Hari ini, keputusan kekal bersama GRS terbukti tepat apabila PBS memenangi tujuh kerusi dan terus berada dalam kerajaan negeri, sekali gus memastikan PBS kekal relevan dan berpengaruh,” katanya.
Beliau menjelaskan GRS merupakan platform paling sesuai untuk PBS kerana dasar gabungan itu menjaga kepentingan Sabah secara khusus, di samping menyumbang kepada kestabilan negara secara keseluruhan.
Mengulas slogan “Sabah for Sabahan”, Joachim menegaskan ia bukan retorik anti-Malaya atau seruan keluar Malaysia, sebaliknya merujuk kepada perjuangan Borneonisasi supaya lebih ramai anak Sabah mengisi jawatan penting dalam pentadbiran negeri dan persekutuan.






