
PUTRAJAYA – Seorang pendaki program Malaysia Everest 2023 (ME 2023) meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian di gunung tertinggi dunia itu, malam semalam.
Memetik sumber Berita Harian, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, disahkan meninggal pada jam 10.30 pagi tadi waktu Nepal (12.45 tengahari waktu Malaysia) ketika sedang menerima rawatan lanjut di Kem 4.
Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak berkata ketika kejadian Allahyarham bersama Muhammad Hawari Hashim, 33, sedang melakukan pendakian pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak.
Katanya, selepas kejadian Allahyarham dibawa ke Kem 4 dengan bantuan malim gunung untuk diberikan rawatan lanjut, sebelum disahkan meninggal dunia pagi tadi.
“Selepas terjatuh, Allahyarham masih dalam keadaan sedar sebelum dibawa turun manakala Hawari meneruskan pendakian sehingga ke puncak.
“Jenazah akan dibawa turun sehingga ke Kem 2 untuk diterbangkan ke hospital dengan helikopter. Namun ia bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya ketika dihubungi.
Azim berkata kejadian itu sudah dimaklumkan kepada Kedutaan Malaysia di Nepal dan selepas dibawa turun jenazah akan dihantar ke hospital untuk bedah siasat.
“Keluarga Allahyarham juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu. Pihak kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal bagi menguruskan jenazah,” katanya.
Allahyarham Awang Askandar adalah Ketua Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah dan berasal dari Sabah.
Mengikut laporan media tempatan Nepal, Allahyarham adalah warga asing ke sembilan meninggal dunia bagi musim pendakian tahun ini.
Misi ME 2023 ini adalah percubaan kedua Allahyarham selepas tertangguh tahun lalu disebabkan faktor cuaca.
Azim berkata, misi pendakian itu dipecahkan kepada dua pasukan dimana Allahyarham bersama Hawari memulakan misi pertama manakala dia dan Tiong Ling Yang, 30, dalam kumpulan kedua.
Katanya, misi kumpulan kedua terpaksa ditangguhkan bagi menguruskan proses membawa keluar jenazah Awang Askandar.





