Pasukan Sabah Shooting Association Rangkul Tempat Kedua di Kejohanan DSS Trophy 2025

Pasukan Sabah Shooting Association Rangkul Tempat Kedua di Kejohanan DSS Trophy 2025

0
SHARE

PUTRAJAYA: Pasukan menembak Sabah Shooting Association (SSA) sekali lagi membuktikan kemampuan mereka di pentas kebangsaan apabila berjaya meraih tempat kedua keseluruhan bagi kategori Production dalam kejohanan DSS Trophy 2025 IPSC Handgun Championship Level II yang berlangsung di Lapang Sasar Shapadu, Presint 20, Putrajaya, dari 9 hingga 12 Oktober lalu.

Ketua pasukan, Jeson Yong berkata, kejayaan itu amat bermakna kerana pasukan dari Sabah berjaya berdiri sebaris dengan penembak elit daripada Gerup Gerak Khas (GGK) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sering mendominasi acara tersebut.

“Kami amat berbangga kerana tidak mudah bagi kelab menembak swasta seperti SSA untuk menyaingi pasukan khas agensi keselamatan.

“Di sebalik kejayaan ini, kami berdepan pelbagai cabaran termasuk latihan intensif dan kos penyertaan yang ditanggung sendiri oleh peserta,” katanya ketika dihubungi.

Jeson yang juga Timbalan Setiausaha SSA menjelaskan bahawa reka bentuk stage kejohanan kali ini mencabar dengan elemen taktikal dan teknikal tinggi, termasuk kedudukan menembak ‘weak hand’ yang jarang dipertandingkan.

“Ini merupakan kejayaan kedua saya di pentas IPSC kebangsaan selepas meraih tempat ketiga dalam kategori individu dan berpasukan di LEIOS IPSC Open Level 2 awal tahun ini,” tambahnya.

Beliau turut berharap lebih ramai penembak IPSC dari Sabah berani menyertai pertandingan di luar negeri bagi menimba pengalaman, di samping mengharapkan agar IPSC Level 2 dapat dianjurkan di Sabah tahun depan.

Seramai 121 peserta dari pelbagai pasukan keselamatan dan kelab menembak mengambil bahagian dalam kejohanan edisi keempat itu.

Pasukan SSA terdiri daripada Jeson Yong (Ketua Pasukan) bersama Carlson Cassey Alipin, Azlin Mohi dan Azlina Azizan.