KPD Avenue Contoh Kejayaan Pengurusan Sistematik Sektor Pertanian – Jamawi

KPD Avenue Contoh Kejayaan Pengurusan Sistematik Sektor Pertanian – Jamawi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengurusan teratur dan berkonsepkan rantaian perniagaan menyeluruh menjadikan KPD Avenue sebagai contoh kejayaan sektor pertanian yang mampu menjana keuntungan mampan, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pasar Harian dan Sunset Deck KPD Avenue yang diuruskan oleh Koperasi Pembangunan Desa, sebuah agensi di bawah kementeriannya, hari ini.

Jamawi berkata hasil tinjauan mendapati peniaga, pemborong dan usahawan yang beroperasi di KPD Avenue berpuas hati dengan kadar sewaan yang munasabah, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan mereka.

“Pengurusan di sini sangat tersusun, kemudahan lengkap dan persekitaran perniagaan kondusif. Hari ini juga kita menyaksikan pembukaan rasmi sebuah restoran steamboat oleh usahawan tempatan dengan lokasi strategik menghadap laut serta pemandangan matahari terbenam yang menarik,” katanya.

Beliau turut memaklumkan prestasi kewangan KPD menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila sasaran jualan RM99.8 juta bagi tahun ini telah melepasi jangkaan, dengan rekod RM99.9 juta setakat November.

“Tahun lalu jualan sekitar RM98 juta, dan peningkatan hampir RM1 juta tahun ini memberi isyarat jelas bahawa bidang pertanian mampu menjana keuntungan jika diurus secara sistematik dan profesional,” katanya.

Menurut Jamawi, KPD yang ditubuhkan sejak 1981 kini hampir mencecah 45 tahun operasi dan terus mencatat pencapaian konsisten, termasuk menyumbang RM1 juta setahun kepada Kerajaan Negeri sejak 2019 hingga 2025.

Bagi tahun hadapan, katanya, KPD menyasarkan jualan RM100 juta selain mempergiat promosi, khususnya di KPD Avenue yang beroperasi hampir 24 jam sehari melalui pasar borong awal pagi, pasar harian siang hari serta aktiviti makanan dan niaga pada waktu malam.

Beliau berkata kementeriannya akan terus menyokong KPD sebagai ‘jambatan’ kepada peluang baharu, termasuk memanfaatkan media sosial bagi mempromosi pusat jualan dan menggalakkan penyertaan lebih ramai pemborong serta usahawan, khususnya golongan muda.

Jamawi turut menyentuh pelaksanaan inisiatif “Kebun Dapur” yang dirancang tahun hadapan bagi menggalakkan masyarakat kampung menanam hasil makanan untuk keperluan sendiri, dengan lebihan hasil dikumpul dan dipasarkan melalui pusat pengumpulan KPD.

Mengulas perkembangan politik semasa, beliau menegaskan akan terus memberi tumpuan penuh kepada amanah sebagai menteri dalam membangunkan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan negeri.

“Keutamaan saya ialah kerja dan tanggungjawab kepada rakyat serta pembangunan sektor ini,” katanya.